BUNGA BAKAWALI

BUNGA BAKAWALI (Epiphyllum anguliger) dari kumpulan kaktus merupakan bunga yang menpunyai ciri unik kerana ia hanya kembang pada waktu tengah malam. Nama lain bagi tumbuhan ini adalah Ric Rac Cactus, Moon Cactus dan Queen of The Night Flower. Bunga ini keluar dari tumbuhan yang di percayai berasal dari kawasan tanah gurun yang panas. Tanaman jenis kaktus atau herba ini sesuai tumbuh menegak dalam pasu atau menjalar atau tumbuh secara merayap atau melilit diatas kayu sokong atau pada pokok sokongan. Batang bakawali mengeluarkan tangkai bunga apabila tiba masanya dan merupakan satu keistimewaan terhadap tumbuhan ini. Kita jangan keliru antara pokok bunga bakawali dengan pokok bakawali (atau disebut juga Batawali) yang sangat pahit (Tinospora crispa) yang saya tulis sebelum ini (Sila Klik disini). Ini kerana kedua-dua jenis tumbuhan ini diberikan nama yang sama tetapi merupakan pokok berlainan. Artikel kali ini saya menulis dan berkongsi maklumat dalam "Anim Agro Technology" mengenai apa dia bunga dan khasiat bakawali berdasarkan pengalaman dan bacaan daripada beberapa buku teknikal dan lamanweb yang berkaitan.


BUNGA BAKAWALI ini tidak seperti bunga-bunga lain yang berkembang pada waktu pagi. Apa yang dilihat, bunga ini apabila terkena cahaya matahari ia akan cepat atau dikatakan menjadi layu. Ciri marfologi bunga ini berwarna putih bersih ini amat berbeza kerana kelopaknya mula terbuka pada pukul 9 malam dan mekar sepenuhnya apabila detik 12 tengah malam (Sila lihat foto disebelah). Lebih menarik lagi adalah bentuknya yang indah dipandang apabila ia berkembang ketika bulan mengambang. Pada waktu yang sama juga selalu didapati bunga bakawali mengeluarkan bau yang begitu wangi sehingga dapat dihidu jauh ke seluruh kawasan sekitar. Ada orang yang mengatakan aroma atau baunya seolah-olah minyak wangi atau bedak talkum yang mengasyikkan. Bagaimanapun dilaporkan agak begitu sukar untuk meramalkan bilakah detik ia berkembang walau pun ditunggu akan masa ia mekar. Oleh sebab itulah ramai  juga mempercayai bahawa seseorang yang berpeluang untuk menyaksikan ia mekar akan dilimpahkan rezeki yang banyak. Memang bunga ini jarang sekali dapat dilihat mekar kalau bukan berusaha untuk menanam sendiri dan melihatnya.


Laporan mendapati ramai diantara penduduk dibeberapa negara menggangap  bunga itu sebagai misteri oleh sesetengah pihak kerana ciri-ciri unik yang dimilikinya. Orang zaman dahulu yakin bunga tersebut mempunyai ‘penunggu’ dan selain itu ia juga mendapat jolokan sebagai 'Ratu Malam' dan 'Kaktus Bulan'. Mendengar nama seperti tersebut mungkin ramai faham akan mekarnya bunga ini hanya pada waktu malam sahaja dengan aroma yang amat kuat. Semasa kunjungan penulis beberapa kali dinegara jiran, penulis dapati ia juga dikenali sebagai 'wijayakusuma' oleh masyarakat Indonesia. 'Wijaya' membawa maksud menang manakala 'kusuma' bererti bunga dalam bahasa Jawa. Kononnya, seorang putera mahkota yang sedang menaiki takhta sebagai seorang raja Mataram di Indonesia pada zaman dahulu perlu memetik bunga itu ketika ia berkembang. Sekiranya tidak berbuat demikian, dia tidak akan diakui oleh oleh makhluk dunia nyata dan dunia halus sebagai pemegang takhta. Dipercayai tindakan itu adalah sebagai lambang mendapat restu daripada nenek moyang. Biarpun unik, tidak ramai peminat landskap di negara ini yang menjadikan pokok itu sebagai salah satu elemen taman. Tumbuhan daripada keluarga kaktus itu mempunyai ciri fizikal yang seakan-akan pokok buah naga (Sila lihat foto disebelah). Bunga Bakawali walaupun bunganya cantik dan berbau harum tetapi generasi hari ini yang tidak tahu tentang pokok bakawali. Memang jarang pelanggan yang meminta pokok itu ditanam di taman mereka.


Pokok bunga bakawali juga dikatakan mempunyai pelbagai khasiat khusus termasuklah dapat mengubat masalah rabun mata dan mencantikkan kulit. Embun yang melekat pada bunga tersebut jika disapu pada mata kita didakwa mampu membersihkan habuk pada bahagian sensitif itu.  Orang zaman dahulu turut menggunakan kelopak bunga bakawali dalam merawat luka manakala batangnya yang sudah dikeringkan dipercayai dapat merawat masalah darah tinggi dan kencing manis. Cara yang diamalkan adalah dengan memakan serbuknya. Rasanya begitu pahit dimana bahan itu biasanya diambil bersama-sama buah pisang atau daun sirih.  Selain kepercayaan mitos tentang bunga bakawali didapati ia pernah diceritakan bahawa seorang wanita yang sedang asyik menunggu kelopak bunga itu berkembang pada waktu tengah malam telah diganggu oleh makhluk misteri. Biarpun terdapat pelbagai kisah mitos bunga bakawali terutamanya di sekitar Nusantara, kebanyakan masyarakat hari ini tidak lagi akan mempercayai kisah mistik tersebut. Sebaliknya mereka menganggap pokok tersebut memiliki ciri-ciri yang begitu unik.


Pokok Bakawali atau disebut juga Bratawali (Tinospora crispa) pula merupakan jenis tumbuhan herba yang mengandungi khasiat perubatan terutama dalam perubatan tradisional India dan China. Kandungan lain seperti kompoun  cordifoliosides A-E, Syringen, Alkoloid Kuning, Berberine, Giloin, Giloininand Mentah didapati untuk tujuan perubatan. Kandungan nahan Glokisol Pahit seperti Polisaccaride termasuk Abinogalactan polysachararide (TSP) , Picrotene dan Bergenis juga ada dalam bakawali. Komponen ini digunakan dalam perubatan AYURVERDA dan pembuatan JAMU TRADISIONAL. Kegunaan tumbuhan ini untuk mengatasi masaalah penyakit hati (Hepar) dari akibat Toksin. Bagaimana pun banyak produk tradisional berasaskan tumbuhan ini yang telah tersedia dipasaran terutama dinegara jiran kita. Orang kata 'Pahit itu Ubat' membolehkan tumbuhan ini juga dikomersilkan. Sebaiknya perlua lebih banyak kajian yang dijalankan untuk tumbuhan ini yang sememangnya ada potensi digunakan dalam perubatan kerana ia telah digunakan secara tradisional sejak zaman dahulu. Semuga artikel malam ini mampu memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!...
Bersama Teletubies di Dieng Plateau, Jawa Tengah.
BUNGA BAKAWALI...CANTIK RASANYA...
KELUAR MALAM...WANGI BAUNYA...
BILA PAGI HARI...LAYU CEPATNYA...
SUDAH TAHU....TANAM DIRUMAH SAJA...


By,
M Anem,

Senior Agronomist.
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia
(Sabtu 16 JamadilAwal 1434H)
Artikel ini telah ditulis 3 tahun dulu dan hanya diposting hari ini.

Artikel Terkait

Previous
Next Post »