MESTA - CASHFLOW

MESTA (Garcinia mangostana) merupakan sejenis varieti Buah Tropika menyamai buah Manggis. Mesta pada penulis memang sangat superior daripada buah manggis dari segi kualiti, status harga dipasaran dan juga penerimaan oleh ramai pelanggan yang mengenali buah mesta. Mereka yang sudah kenal akan buah mesta ini memang akan lebih gemar dan memilih buah mesta ini berbanding dengan manggis. Penulis sendiri yang memang sudah kenal akan buah mesta ini yang telah lama popular di kawasan Pahang Tengah dan Pahang Barat semenjak lebih 15 tahun dulu. Buah Mesta telah pun lama didaftarkan dengan Jabatan Pertanian dalam Senarai Varieti Tanaman Kebangsaan (National Variety Listing) pada tahun 1993 oleh Jabatan Pertanian dengan No Daftar GA2. Dalam keterangan ringkas mengenai info yang ada dalam pendaftaran hanya dinyatakan bahawa buah ini didaftarkan berasal dari Pahang. Buah Mesta merupakan sejenis buah-buahan tropika daripada kumpulan Manggis. Kini penulis lebih arif tentang amalan agronomi tanaman mesta yang mana ia semakin luas penanamannya di sekitar Temerloh, Maran, Jerantut, Lipis dan beberapa daerah lagi. Laporan statistik Jabatan Pertanian Negeri Pahang 2014 menyatakan terdapat seluas 890 hektar tanaman manggis di Pahang dimana seluas 133 ha berada di Lipis, 95 ha di Raub, 87 ha di Jerantut, 62 ha di Temerloh, 60 ha di Bera, 48 ha di Bentong, 37 ha di Rompin, Kuantan 34 ha dan 32 ha di Maran. Daerah Pekan hanya ada seluas 3 ha dan Cameroon Highland tiada laporan tanaman mesta / manggis. Manggis yang ditanam secara selingan dengan tanaman lain atau pun ditanam secara monokrop ini semakin mendapat perhatian ramai orang dari kalangan petani, pemborong dan juga pengeksport kerana harga yang semakin baik dipasaran. Artikel tengah malam ini saya menulis dalam"Anim Agro Technology" mengenai sedikit info mengenai cashflow atau pun analisa kewangan tanaman buah mesta berdasarkan lawatan ke ladang mesta di Kg Paya Pasir, Maran, Pahang untuk dijadikan bahan rujukan.


Penanaman mesta dengan menggunakan benih yang tulin amat penting dilakukan dari peringkat awal lagi. Petani perlu mendapatkan benih mesta daripada penanam mesta sedia ada atau Jabatan Pertanian atau nurseri swasta yang disahkan ketulinanannya dalam Skim Pengesahan Benih Tanaman (SPBT). Pada penulis sebaiknya dapatkan benih dari pemilik pokok mesta dewasa yang tumbuh dibawah pokok dan dimasukkan didalam polibeg sehingga besar dan sesuai untuk ditanam. Harga benih mesta adalah diantara RM15.00 - RM20.00 sepokok. Penelitian penulis mendapati daripada 3-4 biji buah mesta yang dimakan, hanya boleh dapat 1-3 biji sahaja yang boleh disemai. Ini kerana buah mesta yang baik amat sukar untuk mendapatkan bijinya tidak seperti buah manggis. Kalau ada yang inginkan anakbenih 'Advanced Planting Material' atau APM Mesta boleh membelinya dengan harga yang lebih tinggi. Benih APM ini lazimnya mudah dijaga dan cepat berbuah. Pokok mesta yang dijaga baik mampu mengeluarkan hasil dalam 3-4 tahun selepas ditanam. Pembajaan dengan baja tumbesaran NPK 15:15:15 diperingkat vetetatif dan baja NPK 12:12:17:2:TE apabila pokok matang sesuai dilakukan. Sebaiknya selalu ditambah dengan baja organik dan baja foliar mengikut syor. Kawalan rumpai dijalankan dengan membiarkan rumpai diantara barisan tanaman tetap dibawah kanopi hendaknah sentiasa bersih daripada rumpai. Kawalan serangga dan penyakit dilakukan dengan amalan Kawalan Perosak Bersepadu dan sanitasi kebun. Memetik buah mesta merupakan antara komponen agak tinggi dalam menyediakan cashflow tanaman ini kerana ianya perlu dilakukan secara manual. Pemetik buah mesta menggunakan galah khas daripada buluh dan memetik setiap biji buah masak (Sila lihat foto disebelah). Pemetik buah perlu mempunyai mata yang terang untuk melihat buah masak dan berkemampuan panjat pokok mesta untuk memetiknya.


Dalam membuat tinjauan mengenai kos memetik buah mesta didapati beberapa petani akan meminta pemborong hantar pekerja memetik buah mesta (Selalunya Pekerja Asing) untuk memetik hasil. Meraka akan diberikan upah diantara RM0.80 - RM1.00 sebiji buah mesta yang berada didalam Gred A. Buah mesta yang dipetik akan digredkan mengikut saiz, warna, indeks kematangan, kecacatan dan sebagainya. Buah ini akan diuji tahap kemanisannya dengan mengambil sampel untuk dimakan (Sila lihat foto disebelah). Dalam kajian kes penulis terhadap kebun Encik Shuib didapati penuaian mesta tahun 2016 daripada 19 Julai 2016 sehingga 30 Ogos 2016 atau sekitar 45 hari memetik hasil. Kadar hasil dipetik daripada kebun seluas 4 ekar dengan 205 pokok ini (Sebahagian pokok mesta dikebun ini mati akibat banjir 2015) dan disulam semula meningkat secara berperingkat. Peringkat awal penuaian hasil sekitar 150 kg sehari dan meningkat kepada 350 kg sehari dan waktu puncak mencecah sehingga 900 kg sehari. Bilangan pemetik untuk kawasan seluas ini adalah seramai 10 orang semasa waktu puncak. Ini bermakna keupayaan memetik buah mesta setiap orang sekitar 80 - 90 kg seorang sehari. Jika sekilogram mesta sekitar 6 - 10 biji makan jumlah buah yang perlu dipetik dalam sehari adalah 400 - 900 biji seorang sehari. Pada peringkat puncak pemetik buah p0erlu naik atas pokok dan memetik buah dari atas dahan pokok bagi melihat dengan jelas buah mesta yang sedia untuk dipetik. Buah mesta yang gugur atas permukaan daun atas tanah pula jika dalam keadaan baik dimana dilihat tampoknya masih hijau dan boleh dikutip kemudian digred dan seterusnya dijual. 


Daripada rekod ladang petani yang penulis semak, setiap pokok mampu memberikan purata hasil sebanyak 82 kg atau sekitar 490 - 980 biji sepokok. Hasil tahun ini didapati meningkat daripada jangkaan awal sekitar 10 mt seperti hasil direkod pada tahun 2015. Sehingga akhir musim didapati sebanyak 17 mt mesta telah dituai daripada 205 pokok. Ini disebabkan oleh pengurusan tanaman mesta yang baik seperti kawalan musuh dan penyakit yang baik dan aplikasi baja foliar sebagai inout tambahan daripada baja kimia yang lazimnya diberikan. Kemarau panjang dan panas yang berpanjangan semanjak Januari - April 2016 membolehkan proses fotosintesis berlaku dengan baik antara faktor menyumbang kepada penghasilan mesta yang agak tinggi. Kawasan kebun yang tiada masaalah kekeringan dengan penjagaan rumpai diantara baris tanaman memberi kesan baik. Buah mesta yang digredkan didapati 90% adalah gred A yang dijual dengan harga ladang RM6.00 sekilogram. Peringkat awal ia dibayar dengan harga RM7.00 sekilogram (Harga bersih setelah RM1.00 sekilogram kos petik buah sekilogram). Anggaran pendapatan kasar musim ini sekitar RM102,000 (17 mt x RM6.00/kg). Kos pengeluaran bahan input seperti baja, bahan kimia, upah meracun dan sebagainya sekitar RM30,000 menjadikan anggaran pendapatan bersih tanaman buah mesta tahun ini sebanyak RM72,000. Harga tinggi yang diperolehi tahun ini disebabkan amat kurang pengeluaran buah manggis dan pasaran lebih luas untuk buah mesta. Cashflow ini hanya berpandukan kepada semakan buku redod dikebun dan hasil temubual penulis dengan pemilik kebun. Kini beberapa orang petani dikawasan sekitar berminat untuk menanam mesta secara monokrop apabila mendapati cashflow dinyatakan diatas. Terimakasih penulis kepada En Shuib yang dengan ikhlas memberikan info berguna kepada semua pembaca blog Anim Agro Technology sebagai bahan bacaan. Wasallam!!..


MENYEMAK REKOD...BUAH MESTA...
HASIL BERKUALITI... TINGGI HARGA...
RM6.00/KILOGRAM... SEPANJANG MASA...
MENGUNTUNGKAN... BOLEH MENCUBA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kebun Mesta Komersil,
Kg Paya Pasir, Maran,
Pahang, Malaysia.
(16 Ogos 1437H)

Artikel Terkait

Previous
Next Post »